hUbungAn dengan Allah
Satu
perkara yang paling utama, yang sentiasa diperingatkan oleh para anbiya’,
khulafa ar-Rashidin dan orang-orang yang soleh pada semua keadaan ialah supaya
pengikut-pengikut mereka bertaqwa kepada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Menyemarakkan
hati sanubari mereka dengan kecintaan dan taqarrub kepada-Nya dengan melakukan
ketaatan dan ibadah kepada-Nya. Tidak syak lagi, inilah perkara yang mesti
diutamakan daripada perkara-perkara yang lain.
Beriman
dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala adalah persoalan yang paling pokok dalam
aqidah. Berhubungan dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan bertaqarrub
dengan-Nya mendahului persoalan-persoalan yang lain dalam ibadah. Takut kepada
Allah Subha Nahu Wa Ta’ala apabila bersendirian di tempat sunyi dan juga ketika
di khalayak ramai mendahului perkara lain dalam akhlak, muamalat dan amalan.
Segala usaha kita tidak mungkin berhasil kecuali setelah kita mengembalikan
hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Kuat atau lemahnya kita
adalah bergantung kepada sejauh mana hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa
Ta’ala. Kita menjadi kuat apabila hubungan kita dengan Allah Subha Nahu Wa
Ta’ala kuat, dan kita lemah apabila hubungan kita dengan-Nya lemah.
Makna
Hubungan Dengan Allah
Hubungan
manusia dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, mengikut keterangan Al-Quran
Al-Karim bermaksud supaya manusia menjadikan hidup, mati, solah dan segala
ibadah semata-mata untuk-Nya.
“Katakanlah:
Sesungguhnya solahku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku bagi Allah, Tuhan
sekalian alam.” [Al-Anaam: 162]
Hendaklah
seseorang itu menyembah Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan penuh keikhlasan.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah berulang kali menerangkan
pengertian hubungan hamba dengan Rabbnya sehingga tiada setitik debupun yang
menutupi pengertian ini. Jadi, mengertilah kita akan hakikat hubungan dengan
Allah Subha Nahu Wa Ta’ala iaitu:
“Takut
akan Allah di tempat sunyi dan tempat yang terang.” [Hadith]
“Hendaklah
engkau yakini bahawa yang ditangan Allah itu lebih terjamin daripada apa yang
ada di tangan engkau.” [Hadith]
“Hendaklah
engkau menuntut keredhaan Allah dengan kemarahan manusia.” [Hadith]
Kita
tidak pula mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah Subha Nahu Wa
Ta’ala. Setelah terjalin rapi hubungan ini, kecintaan seseorang, perseteruan,
pemberian dan tegahannya semuanya demi Allah Subha Nahu Wa Ta’ala semata-mata
tanpa dicemari oleh tujuan-tujuan lain. Inilah pengertian kesempurnaan hubungan
dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.
“Sesiapa
yang cintakan Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah,
sesungguhnya telah sempurnalah imannya.” [Hadith]
Jalan
Memperkuatkan Hubungan Dengan Allah
Tidak
terdapat jalan lain untuk menimbulkan hubungan dengan Allah Subha Nahu Wa
Ta’ala melainkan satu sahaja. Seseorang insan hendaklah beriman dengan Allah
Subha Nahu Wa Ta’ala yang Esa sebagai Rab dan Ilah bagi dirinya dan untuk
sekelian makhluk di langit dan di bumi serta mengimani sifat-sifat
UluhiyyahNya. Tuntutan dan kelayakannya tidak boleh diberi kepada selain
daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Hendaklah saudara membersihkan hati
daripada segala kekaratan syirik. Apabila manusia dapat menyempurnakan semuanya
ini mengikut cara yang dituntut, akan terikatlah jalinan hubungan antaranya
dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Adapun untuk mempererat dan menyuburkan
hubungan ini tertakluk kepada dua jalan:-
i. jalan kefahaman dan berfikir
ii. jalan bekerja
Kaedah
menyuburkan hubungan dengan Allah SWT melalui jalan kefahaman dan tadabbur
ialah dengan cara saudara mempelajari Al-Quran dan Hadith Nabi Sallallahu
Alaihi Wasallam yang sahih dan sedaya upaya mengamatinya berulang-ulang kali
dan seterusnya cuba memahaminya agar benar-benar faham. Langkah seterusnya
ialah dengan mencuba sedaya upaya untuk mengamalkannya di dalam kehidupan.
Apakah sudah terjalin hubungan di antara saudara dengan Allah Subha Nahu Wa
Ta’ala dalam kenyataan hidup sehingga setelah saudara ketahui sudut-sudut ini,
saudara akan cuba bentangkan dan bandingkan dengan hal keadaan saudara. Maka
bertambah eratlah hubungan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Maka
untuk itu, hendaklah saudara memperhatikan segenap sudut. Sampai ketahap manakah
telah saudara laksanakan tuntutan-tuntutanNya? Apakah pula
kekurangan-kekurangan pada diri saudara di dalam perkara ini? Sekadar mana
dapat diperkuatkan perasaan ini di dalam diri saudara maka sekadar itulah
hubungan saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.
Dalam
konteks pertalian dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala, saudara adalah hamba
manakalah Allah Subha Nahu Wa Ta’ala adalah Tuhan (Rabb). Saudara dijadikan
sebagai khalifahNya di bumi. Kemudian, daripada Allah Subha Nahu Wa Ta’ala
dipindahkan nikmat-nikmat dan pemberianNya yang tidak terkira kepada saudara.
Bertolak daripada sini, setelah saudara beriman maka Allah Subha Nahu Wa Ta’ala
telah membeli jiwa dan harta saudara dengan syurga. Lalu daripada semua itu,
saudara bertanggungjawab di hadapanNya. Allah Subha Nahu Wa Ta’ala tidak
menghisab amal-amal itu daripada segi zahir pekerjaan saudara sahaja, tetapi
juga dicatat bersama-sama dengan perbuatan zahir itu gerak-geri, diam, niat dan
kehendak saudara. Inilah antara banyak contoh-contoh pertalian yang telah sedia
ada di antara saudara dengan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Berdasarkan kepada
kefahaman ini, menjiwainya dan melaksanakan tuntutannya akan menentukan darjat
hubungan dan taqarrub saudara denganNya. Sejauhmana saudara melalaikannya dan
tidak memikirkan untuk menunaikan tuntutan-tuntutannya maka sekadar itulah
saudara telah menjauhi Allah dan merenggangi hubungan denganNya. Semakin kuat
saudara berjaga-jaga, berusaha untuk memelihara dan mengambil berat terhadap
urusanNya, maka semakin teguh dan mendalamlah hubungan saudara dengan Allah
Subha Nahu Wa Ta’ala.
Namun,
jalan berfikir ini tidak akan mendatangkan buahnya bahkan tidak mungkin kekal
dalam jangka masa yang panjang sekiranya saudara tidak sandarkan kepada jalan
amal iaitu ketaatan yang ikhlas terhadap hukum Ilahi serta membelanjakan jiwa
dan harta kepada sebarang jalan yang obleh membawa mardhatillah Subha Nahu Wa
Ta’ala. Makna ketaatan kepada hukum Ilahi ialah melakukan segala apa yang
diperintahkan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dengan penuh kerelaan jiwa di
waktu senang dan susah, sunyi dan terang tanpa menghiraukan keuntungan dunia,
malah hanya menghitung keredhaan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala semata-mata.
Ketaatan kepada hukum-hukum Ilahi juga bererti meninggalkan sesuatu yang
dibenci oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala di waktu sunyi dan terang dengan penuh
rasa kebencian terhadap larangan itu. Jangan saudara jadikan desakan duniawi
sebagai motif untuk meninggalkan larangan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala. Saudara
tinggalkan setiap larangan itu adalah semata-mata kerana Allah Subha Nahu Wa
Ta’ala. Inilah jalan yang mempertingkatkan darjat ketaqwaan saudara kepada
Allah Subha Nahu Wa Ta’ala.
Dalam
hal yang akan meningkatkan saudara ke darjat ihsan selepas darjat taqwa ialah
dengan cara saudara berusaha mempertingkatkan setiap amal-amal keutamaan
(fadhilat-fadhilat) yang dicintai oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan RasulNya.
Menjauhi perkara yang tercela lagi dibenci oleh Allah Subha Nahu Wa Ta’ala dan
RasulNya. Janganlah saudara memandang ringan dan remeh di dalam hal
membelanjakan apa yang dimiliki oleh saudara seperti jiwa, harta, masa, usaha,
kekuatan fikiran dan kekuatan hati. Di samping itu, sentiasalah di dalam
keadaan beringat, penuh keinsafan supaya tidak tumbuh di dalam hati
saudara rasa sombong serta ujub dengan amal dan pengorbanan yang telah saudara
lakukan sehingga melupai diri sendiri lalu terlintas di dalam hati perasaan
seolah-oleh saudara telah berbakti dan berbudi kepada orang. Sebaliknya
mestilah saudara rasai bahawa saudara terlalu sedikit dan terlalu kurang di
dalam melaksanakan semua yang diwajibkan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala
~@nukasef~
Tidak ada komentar:
Posting Komentar